KANGAR – Pasukan debat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempamerkan kecemerlangan apabila meraih tempat kedua pada Pertandingan Debat Bahasa Inggeris Pertubuhan Universiti Asia dan Pasifik, yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada Ahad.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata seorang daripada anggota pasukan debat itu, Teh Fu Yuan juga turut diumumkan sebagai pendebat lelaki terbaik selepas pasukan itu melepasi pusingan pertama, mengatasi pasukan dari Universiti Siam, Thailand.
“Selain UniMAP, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Multimedia turut mewakili Malaysia ke pertandingan itu tetapi hanya UniMAP mara ke separuh akhir dan seterusnya berjaya ke peringkat akhir.
“UniMAP mendapat tempat kedua selepas tewas kepada University Jaipur dari India dan membawa pulang hadiah berupa piala, sijil dan wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain Teh yang merupakan penuntut dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, pasukan debat itu turut dianggotai Lam Zi Xin dari PPK sama dan Muhammad Adli Aswadi dari PPK Bioproses, diiringi pensyarah dari Pusat Bahasa dan Antarabangsa, Noor Farahhein Johari dan Mohd Azrizal Mohd Salleh.
“Antara negara yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu ialah Indonesia, Filipina, India dan tuan rumah, Thailand. Saya berharap kejayaan ini dapat menyuntik semangat warga UniMAP khususnya mahasiswa untuk terus mencipta kecemerlangan di persada antarabangsa,” katanya. – BERNAMA