KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR) akan diperluaskan ke beberapa lokasi lebuh raya yang telah dikenal pasti tahun depan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Mohamad Fuzi berkata USLR di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang dilancarkan Februari tahun ini akan diperluaskan di Lebuhraya Utara Selatan iaitu dari Jitra, Kedah ke Johor Bharu sejauh 863.7 kilometer melibatkan lapan kontinjen termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Katanya, unit berkenaan kini ditempatkan di Lebuhraya Utara Selatan meliputi sektor Kuala Lumpur-Seremban dengan jarak 66 kilometer serta empat daerah iaitu Serdang, Kajang, Nilai dan Seremban.
“Unit ini berperanan menjalankan siasatan bagi kes-kes kemalangan ringan di lebuh raya dan unit ini mendapat maklum balas positif daripada pengguna jalan raya.
“Sejak ia dilancarkan, sebanyak 5,256 kes telah disiasat oleh unit ini dengan status akhir bagi semua kes adalah selesai,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman di sini hari ini.
Mohamad Fuzi berkata unit itu mengaplikasi kaedah siasatan Electronic Investigation Paper (kertas siasatan secara elektronik) untuk kemudahan orang awam.
“Inisiatif ini menjimatkan masa, kos dan mengelak trauma berpanjangan kepada mangsa kemalangan,” katanya.
Ditanya mengenai harapan polis dalam Belanjawan 2019, Mohamad Fuzi berkata pihaknya telah membuat permohonan yang munasabah selain berharap kerajaan akan memberi penekanan terhadap kebajikan warganya.
“Kita telah hantar permohonan dan terpulang kepada kerajaan untuk meluluskan permohonan itu.
“Kebajikan adalah perkara utama yang perlu diberi keutamaan termasuklah isu berkaitan perumahan dan lif di mana yang dilaporkan telah rosak berpuluh-puluh tahun hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Terdahulu, pada perhimpunan itu, seramai 49 pegawai dan anggota polis menerima Pingat Jasa Pahlawan sebagai menghargai semangat kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara. – BERNAMA