BUTTERWORTH – Seorang wanita berjaya diselamatkan ketika dia cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 1.0 jambatan itu menghala ke George Town malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah malam semasa wanita berumur 34 tahun bersama empat anaknya menaiki kereta jenis Proton Exora berhenti di Kilometer 1.0 jambatan itu.
Beliau berkata wanita itu memberhentikan kereta di sebelah kiri jalan dan keluar dari kenderaannya sebelum duduk berhampiran penghadang jalan manakala empat anaknya dibiarkan di dalam kereta.
“Pengguna jalan raya yang melihat kejadian itu dan curiga dengan aksi wanita berkenaan kemudian bertindak menghubungi bomba dan polis,” katanya di sini hari ini.
Katanya wanita itu dipujuk oleh anggota peronda Plus dan polis bantuan yang berada di tempat kejadian namun gagal.
Nik Ros Azhan berkata ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian, wanita yang berada dalam keadaan tidak terurus itu terus lari masuk ke dalam keretanya sebelum dia cuba melarikan diri bersama empat orang anaknya.
“Wanita itu yang berada dalam keadaan tekanan dan kurang waras berjaya dipujuk dan ditenangkan oleh suaminya yang berada di lokasi kejadian berkenaan,” katanya.
Katanya wanita itu dibawa ke ke balai polis berhampiran untuk direkodkan keterangan namun dia dalam keadaan tertekan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, wanita itu bertindak sedemikian kerana suaminya berhutang dengan along dan berlaku curang. – BERNAMA