GAZA – Seorang wanita Palestin maut selepas penduduk Israel bertindak membaling batu ke arah keretanya berdekatan penempatan haram Israel di wilayah yang diduduki, Tebing Barat.
Lapor portal al-Jazeera, wanita berkenaan, Aisha Al-Rawbi, 47, disahkan meninggal dunia ekoran kecederaan kepala susulan insiden terbabit.
Beribu-ribu penduduk Palestin menghadiri majlis pengebumiannya semalam di kampung Biddya, Tebing Barat.
Suaminya, Aykube al-Rawbi, 52, yang turut bersama-sama mangsa ketika kejadian berkata, kenderaan mereka dibaling batu ketika melalui penempatan haram Israel berdekatan Nablus, bahagian utara Tebing Barat.
“Batu-batu itu datang dari arah penempatan haram Israel. Saya boleh dengar mereka bercakap bahasa Hebrew tetapi saya tidak melihat kelibat mereka,” kata Aykube kepada Reuters.
Kerajaan dan media Palestin menyalahkan penduduk Israel berhubung kematian Aisha.
Menurut Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan dikeluarkan, penduduk Israel telah melakukan jenayah kejam yang tidak boleh diabaikan dan perlu dikenakan hukuman.
Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Palestin mahu Israel bertanggungjawab ke atas kematian Aisha selain menggesa komuniti antarabangsa untuk mempercepatkan perlindungan ke atas penduduk Palestin.
Dalam pada itu, jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.
Rakaman video di tempat kejadian menunjukkan batu-bata yang mempunyai kesan darah berada di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta terbabit. – www.utusan.com.m