KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan minat terhadap projek perintis untuk melantik ‘Hospital Pilihan WHO’ di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, dalam satu kenyataannya dari Manila, Filipina hari ini, berkata WHO sedang serius menimbangkan Malaysia untuk projek perintis itu atas dasar kebolehcapaian dan kemudahan sokongan yang sangat baik serta telah sedia ada.
Katanya, menerusi projek yang pertama seumpamanya di dunia itu, WHO berminat untuk memastikan kakitangannya dari pelbagai negara mendapatkan tahap penjagaan kesihatan terbaik dari institusi perubatan yang dapat melepasi semua petunjuk mutu dalam dimensi harga tertentu.
“WHO sedang mencari hospital untuk menyediakan perkhidmatan dalam bidang kardiologi, oftalmologi, urologi, ginekologi dan ortopedik. Saya yakin jika Malaysia dipilih, projek perintis ini akan menjadi kejayaan besar kerana sudah terdapat banyak hospital yang sudah mantap dan terakreditasi di Malaysia yang akan melebihi jangkaan WHO.
“Ini adalah peluang yang sangat baik untuk hospital-hospital kita mempromosikan perkhidmatan mereka lebih jauh dan diiktiraf di peringkat global,” katanya.
Perkara tersebut dibincangkan Dr Dzulkefly dengan Stewart Simonson, Penolong Ketua Pengarah, Pengurusan Am WHO, bersama-sama dengan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, di luar Mesyuarat Jawatankuasa Wilayah WHO ke-69 untuk Pasifik Barat yang diadakan di Manilla bermula pada hari ini dan akan berakhir pada 12 Okt. –Ā BERNAMA