KUALA LUMPUR – Tragedi menyayat hati enam anggota bomba yang lemas di Puchong Rabu malam dirasai para netizen yang rata-rata terkejut dan sedih dengan berita mengejutkan itu.
Di laman media sosial, mereka menggelarkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) itu sebagai wira dan hero, yang terkorban ketika cuba menyelamatkan nyawa insan lain.
“Bomba adalah wira yang sebenarnya – selamatkan kucing, ular masuk rumah, selamatkan orang lemas, rumah terbakar, dan macam-macam lagi. Takziah,” kata seorang pengguna Twitter @taeyong.
Seorang lagi pengguna Twitter, @AchuNadia pula berkata: “Kepada ahli keluarga 6 pegawai bomba yang terkorban demi untuk cari satu mangsa lemas tadi, salam takziah dari kami, rakyat Malaysia. Kepada pegawai bomba, kamu berhak mendapat penghormatan.
@cakeyycakiaq menulis: “Mulianya pergi menghadap Yaa Rabbi dalam kerja yang mulia dalam keadaan menyelamatkan orang lain hingga diri sendiri yang terkorban.”
Enam mangsa yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.
Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Dalam kejadian pada 9.15 malam tadi, kesemua mangsa sedang dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja berusia 17 tahun yang dikhuatiri lemas setelah tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong ketika memancing.
Sementara itu, JBPM pula memuat naik kiriman berikut: “Salam takziah buat keluarga enam pegawai bomba yang terkorban dalam operasi menyelamat.
“Ya Allah ampunilah mereka, rahmatilah mereka, maafkanlah mereka, ampunilah kesalahan mereka, muliakanlah kematian mereka, lapangkanlah kubur mereka.”
Warga Rela Malaysia turut mengucapkan takziah dan mendoakan roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat.
Selain di Twitter, pelbagai kiriman foto dan video diiringi kapsyen duka dan kata-kata semangat buat keluarga mangsa turut ‘membanjiri’ laman Facebook dan Instragram. – BERNAMA