SHAH ALAM – Kira-kira 32 lot kedai membabitkan tiga blok di Uptown Shah Alam di sini musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Shah Alam, Penguasa Bomba Kanan I, Yusri Basri berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.37 pagi dan tiba kira-kira enam minit kemudian.
“Sewaktu bomba tiba api sedang marak namun tiada mangsa berikutan aktiviti perniagaan tidak beroperasi.
“Kejadian kebakaran membabitkan 32 unit kedai iaitu 14 unit blok pertama, 14 unit blok kedua yang musnah 100 peratus manakala empat unit blok ketiga musnah 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Yusri berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.43 pagi.
Difahamkan ini kali ketiga kejadian kebakaran di Uptown Shah Alam dengan kali pertama pada 2014 dan 2016. – KOSMO ONLINE