MIRI – Seramai 350 orang penghuni Rumah Panjang Usek Sumpit, Sungai Keriok daerah Niah, di sini, tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran pagi ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, kebakaran tersebut memusnahkan satu blok rumah panjang yang mempunyai 37 pintu manakala sebuah lagi rumah panjang 12 pintu yang terletak berhadapan dengan blok yang terbakar itu tidak mengalami sebarang kerosakan.
“Semua 350 penghuni selamat,”katanya sambil menambah punca serta anggaran kerugian penduduk rumah panjang tersebut masih lagi dalam siasatan.
Law berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.52 pagi serta kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 11.30 pagi.
Kebakaran melibatkan rumah panjang hari ini ialah kes kedua berlaku dalam minggu ini dengan kes pertama kebakaran rumah panjang melibatkan satu blok Rumah Panjang Uma Bakung,Sungai Asap daerah Belaga di Bintulu pada Isnin lepas (19 Nov) yang menyebabkan 470 orang penghuni hilang tempat tinggal. – BERNAMA