PARIS – Lebih 400 orang cedera, 14 daripada mereka parah, dalam bantahan siang dan malam ‘jaket kuning’ berhubung kenaikan harga minyak di sekitar Perancis yang meragut satu nyawa, kata Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner semalam.
Angka yang cedera itu lebih dua kali ganda berbanding yang dikira kelmarin, diikuti apa yang disifatkan Castaner sebagai malam ‘bergolak’ di 87 lokasi di seluruh negara di mana penunjuk perasaan menyekat jalan raya bagi menyuarakan kemarahan dalam siri kenaikan cukai petrol.
Mangsa yang cedera berjumlah 409 secara keseluruhan, termasuk 28 anggota polis, polis separa tentera atau anggota bomba.
Berlaku lebih banyak bantahan semalam di beberapa rantau di seluruh Perancis, menjurus gangguan lalu lintas, namun ia semakin reda, menurut wartawan AFP.
Namun kumpulan peruncit Perancis, Auchan melaporkan insiden ganas di sekitar 20 pusat beli belah miliknya yang mengendalikan pasar raya besar.
Castaner memberitahu radio RTL, 288,000 orang mengambil bahagian dalam bantahan semalam di 2,034 lokasi di seluruh negara. Beliau menambah, kira-kira 3,500 orang sanggup bermalam.
Polis menyoal 282 penunjuk perasaan secara keseluruhan, 73 pada waktu malam daripada 157 yang ditahan. – AFP/BH ONLINE