KAJANG – Insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, awal pagi tadi tiada kaitan dengan sebarang masalah perkauman.
Sebaliknya kejadian berkenaan adalah perselisihan membabitkan masalah yang wujud berkaitan isu perpindahan kuil.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata pada masa ini pihaknya sudah menahan tujuh lelaki berusia 30-an, yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Kesemua mereka ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi sehingga tengah hari ini.
“Selain itu, dua lelaki turut dilaporkan mengalami kecederaan akibat perselisihan faham semasa rusuhan berlaku,” katanya dalam sidang media berhubung rampasan di sebuah makmal dadah di Semenyih, sebentar tadi.
Mazlan berkata, dalam kejadian sama, sebanyak 18 buah kereta dan dua buah motosikal rosak akibat dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Pada masa ini Polis Selangor menempatkan seramai 700 pegawai dan anggota di lokasi kejadian berkenaan bagi memastikan insiden berkenaan tidak berulang,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca sebenar kejadian berkenaan yang dipercayai timbul selepas pemaju hartanah kawasan berkenaan ingin menjalankan kerja-kerja pemindahan kuil.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan motif sebenar kejadian namun menafikan ia berkaitan masalah perkauman. – BH Online