KAMPALA – Sembilan pelajar maut dalam kebakaran yang melanda asrama sebuah sekolah menengah di selatan Uganda, awal pagi tadi.
Jurucakap polis, Patrick Onyango memberitahu Reuters, kesemua mangsa adalah pelajar lelaki sekolah menengah St. Bernard Maya yang mempunyai kira-kira 130 penuntut.
Sekolah itu terletak di daerah berhampiran sempadan Tanzania.
Onyango berkata, pihaknya mengesyaki kebakaran itu dimulakan oleh sekumpulan pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah beberapa hari sebelum itu, akibat masalah disiplin.
“Pelajar terbabit (yang dibuang sekolah) dipercayai bertanggungjawab memulakan kebakaran kerana marah akibat dikenakan hukuman itu.
“Mereka disyaki datang ke sekolah pada waktu tengah malam dan pada jam 1 pagi (waktu tempatan) mereka memulakan kebakaran.
“Siasatan akan dijalankan berdasarkan peristiwa ini dan kami mengesyaki ia adalah perkara sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, beberapa pelajar yang cedera dalam kebakaran itu sudah dihantar ke kemudahan kesihatan berhampiran, namun jumlahnya tidak diketahui. – Reuters/myMetro Online