KOTA KINABALU – Daripada 99,055 pemegang dokumen IMM13 yang direkodkan Jabatan Imigresen Sabah sehingga Ogos lepas, hanya kira-kira 55,000 daripadanya aktif membaharui dokumen mereka setiap tahun.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman bagaimanapun berkata pihaknya kurang pasti punca mengapa ramai pemegang dokumen IMM13 berdafar tidak membaharui dokumen mereka, namun tidak menolak kemungkinan ada antara mereka meninggal dunia atau kembali ke negara asal.
“Perkara ini bukan baharu, kita uruskan pekara ini sejak 50 tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Isu-Isu Pas IMM13’ pada majlis Dialog Undang-Undang Bersama Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Terdahulu dalam ceramahnya Musa berkata sebelum ini ibu bapa pemegang IMM13 boleh mendaftarkan anak-anak mereka yang memiliki rekod kelahiran sah sebagai ganding tanggungan, namun pendaftaran seperti itu dibekukan sejak 2013 semasa prosiding Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin dijalankan di Sabah.
Sejak pembekuan itu katanya ramai anak-anak pemegang dokumen IMM13 tidak didaftarkan untuk digandingkan dengan ibu bapa mereka menyebabkan kanak-kanak berkenaan cuma menjadikan sijil kelahiran sebagai dokumen pengenalan mereka.
Musa berpendapat anak-anak pemegang IMM13 berkenaan perlu didaftarkan dan direkodkan terutama untuk tujuan keselamatan. – BERNAMA