KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempersiapkan pasukan bagi mengharungi kancah Kejohanan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan dengan mengikat penyerang Real Oviedo, Aarón Ñíguez.
Ñíguez merupakan bekas produk akademi Valencia berpengalaman beraksi bersama beberapa kelab di Liga Sepanyol seperti Tenerife, Braga, Elche, Almeria, Recreativo de Huelva, Celta de Vigo dan Glasgow Rangers (Scotland).
Penyertaan penyerang berusia 29 tahun itu diumumkan JDT menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi kelab hari ini.
“Sukacita diumumkan JDT telah menandatangani Ñíguez sebagai pemain luar negara baharu untuk musim hadapan. Ñíguez, produk dari akademi Valencia sebelum ini pernah bermain untuk Real Oviedo, Tenerife, Braga, Elche, Almeria, Recreativo de Huelva dan Celta de Vigo.
“Beliau bermain di posisi ‘false-9’, penyerang kedua, posisi tengah menyerang, posisi sayap kiri dan juga sayap kanan,” katanya di sini hari ini.
JDT baru-baru ini turut mendapatkan Mauricio dos Santos Nascimento bagi menggantikan Marcos Antonio bagi memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan tersebut. – UTUSAN ONLINE