KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu orang ramai memberi perhatian kepada usaha memerangi penyakit anjing gila dan melaporkan apa juga perkara berhubung penyakit anjing gila kepada talian 24 jam Rabies Hotline.
Beliau berkata, orang ramai juga boleh melayari laman Facebook Maklumat Bencana Sarawak (SDI) untuk mendapatkan maklumat terbaharu mengenai penyakit anjing gila.
“Beberapa langkah diambil untuk memerangi penyakit anjing gila dan pelancaran Papan Tanda Kesedaran Penyakit Anjing Gila akan bertindak sebagai amaran berterusan kepada orang ramai mengenai bahayanya penyakit anjing gila.
“Papan tanda ini sebagai alat komunikasi keselamatan yang penting kerana ia membantu memaklumkan pelbagai amaran sebagai garisan hadapan ke arah melindungi diri daripada penyakit anjing gila,” katanya semasa melancarkan Papan Tanda Kesedaran Penyakit Anjing Gila di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Antara lain, papan tanda ini mengingatkan orang ramai bahawa menjadi satu mandatori agar mendapatkan lesen dan suntikan vaksin untuk anjing peliharaan mereka dan kegagalan mematuhi undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan ini boleh didenda sehingga RM5,000.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian. – BERNAMA