SHAH ALAM – Agenda mengangkat calon Perdana Menteri daripada PKR tidak akan terhenti setakat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan Malaysia, malah akan diteruskan selepas itu termasuk menamakan seorang wanita untuk jawatan nombor satu negara.
Bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, yang merupakan calon Naib Presiden, berkata perkara itu bukanlah suatu yang mustahil ‘dilahirkan’ PKR suatu hari nanti.
“Kita juga nak perdana menteri kesembilan, sepuluh, sebelas dan seterusnya daripada PKR juga. Antaranya mungkin wanita. Saya nak lihat dalam tiga tahun akan datang kita mampu lahirkan menteri besar dalam kalangan wanita. Ia tidak mustahil.
“Wanita PKR sekarang sudah berilmu, berwibawa, berdaya saing, berani bersuara dan sangat progresif dalam parti berbanding parti lain,” katanya dalam ucapan khas pada akhir Kongres Nasional Tahunan Wanita 2018, di sini hari ini.
Katanya, potensi Wanita PKR dilihat berkembang dengan pesat berbanding 20 tahun lepas apabila 30 calon wanita menawarkan diri bertanding Ketua Cabang dan dengan proses pemilihan baru-baru ini menyaksikan 17 daripada mereka memenangi jawatan berkenaan di seluruh negara.
Zuraida berkata beliau mengharapkan Wanita PKR terus mara dan memperkukuh jentera parti supaya lebih ramai lagi kaum wanita dapat memimpin cabang dalam sesi pemilihan parti akan datang.
Wanita PKR kini dilihat sangat bersemangat dan ia harus diteruskan dengan gerak kerja turun padang agar parti berkenaan dapat bergerak lebih jauh dan ke peringkat lebih tinggi daripada sekarang.
“Ini dikatakan mengarusperdanakan wanita, bukan hanya di peringkat sayap tapi melangkah ke peringkat induk yang mana peranan wanita dalam membuat keputusan penting parti dapat dimainkan.
“Kita sudah berada di sana dan perlu mencungkil potensi. Jangan takut. Apabila saya menampilkan banyak muka baharu (dalam parti saban tahun), ini bermakna parti kita hidup dengan idea baharu dan semangat baharu,” katanya. – BERNAMA