POPULAR… Meskipun akhbar fizikal dilaporkan terus alami kejatuhan edaran, versi digital pula adalah sebaliknya, malah mampu catat rekod baharu untuk tempoh separuh pertama tahun ini.
Demikian menurut data terkini firma pengauditan antarabangsa, Audit Bureau of Circulations (ABC) mengesahkan Utusan Malaysia kekal akhbar elektronik atau e-paper yang paling laris di Malaysia bagi enam bulan pertama 2018.
Laporan diterbitkan firma global itu di ibu negara pada hari ini bahkan merujuk e-paper Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai akhbar maya berbahasa Melayu No.1 di dunia dengan rekod peningkatan luar biasa.
Data yang dikeluarkan itu serentak dengan laporan edaran bersih akhbar fizikal tempatan, menunjukkan Utusan Malaysia versi digital mencatatkan sebanyak 301,946 langganan untuk tempoh dari 1 Januari sehingga 30 Jun lalu.
Turut cipta rekod ialah akhbar maya Mingguan Malaysia catat 302,658 langganan bagi tempoh masa sama. Ia jauh tinggalkan saingannya, Berita Harian sekadar 191,327 langganan dan edisi mingguan BH Ahad 191,576 langganan.
Dua e-paper terbitan Kumpulan Utusan ini yang mula memasuki pasaran sejak 2012, juga atasi dua lagi akhbar digital berbahasa Melayu milik Media Prima Berhad iaitu Harian Metro (146,159) dan Metro Ahad (146,255).
Baca: Utusan Tutup Kilang Tapi Akhbarnya Masih Kekal Laris
Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia versi digital amat digemari pembaca seluruh dunia kerana boleh diakses seawal jam 5 pagi waktu Malaysia serta mengandungi semua edisi wilayah dengan kos harga langganan berpatutan.
Di peringkat global, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia dianggap akhbar elektronik Melayu popular di dunia kerana lawannya di Singapura, Berita Harian dan Berita Minggu masing-masing cuma dilanggan 1,555 dan 1,519.
Lebih unik, akhbar maya keluaran Kumpulan Utusan itu lebih laris berbanding semua judul e-paper berbahasa Inggeris dan Cina tempatan yang bahkan ada catat kejatuhan langganan antaranya Daily Star dan Sin Chew Daily.
Secara keseluruhan, ABC melaporkan edaran bersih semua 16 judul akhbar elektronik tempatan dari Januari hingga Jun lalu sebanyak 2,023,033 langganan berbanding 1,453,098 langganan pada tempoh separuh kedua tahun lepas.
Trend populariti akhbar maya tempatan ini membuktikan peralihan signifikan minat pembaca mulai lebih gemar mengikuti akhbar arus perdana dalam versi digital yang amat luas akses capaian liputannya. – Mynewshub.TV