KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menjangka lebih banyak bot nelayan asing akan menceroboh perairan Terengganu pada musim tengkujuh berikutan kekurangan hasil laut di negara mereka pada musim itu, kata Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi MD Deris @ Abd Rashid.
Justeru, APMM Terengganu akan mempertingkat rondaan sepanjang musim tengkujuh untuk menangani ancaman kemasukan bot nelayan asing.
Rashidilhadi berkata rondaan itu termasuk di beberapa pulau peranginan terutamanya Pulau Redang (Setiu) dan Pulau Tenggol (Dungun).
“APMM juga akan bekerjasama dengan pegawai di pelantar minyak dan komuniti nelayan tempatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Rashidilhadi berkata APMM Terengganu telah menahan sebuah bot nelayan asing di lokasi 44 batu nautika dari Kuala Terengganu dalam satu rondaan 3.43 petang semalam.
“Bot berkenaan dipercayai bot nelayan asing dari Vietnam. Turut ditahan 11 awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam yang berumur 21 hingga 49 tahun.
“Keseluruhan rampasan adalah ikan (3.2 tan), sotong kering (200kg), diesel (3,000 liter) dan bot dianggarkan bernilai RM1.1 juta,” katanya.
Bot tersebut dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dan lesen yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah. – BERNAMA