KESAL… Seluruh dunia maklum bahawa pantun sudah dianggap Warisan Kebudayaan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Malah, sejak tahun lalu kerajaan Malaysia di bawah Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan jirannya, Indonesia supaya seni budaya bahasa masyarakat tempatan gugusan Nusantara itu diiktiraf sebagai bertaraf warisan dunia.
Justeru apabila Kementerian Pertahanan bertindak pelik dengan keluar arahan larangan berpantun dalam majlis rasmi anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pekeliling bertarikh 2 November lalu, ramai terkejut.
Ada juga netizen anti-Pakatan Harapan (PH) sindir peraturan itu ekoran tular semula pantun lama tetapi diubah suai oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek yang ada disiarkan beliau menerusi akaun sosial Facebooknya.
Pantun itu ditulis Ahli Parlimen Simpang Renggam tersebut sebagai ‘Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadi menteri’ merujuk janji beliau hapus plaza tol lebuh raya di kawasan beliau tidak ditunaikan.
Terkesan dengan pekeliling bodoh itu, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) meluahkan perasaan kesal dengan kenyataan Kementerian Pertahanan dan gesa agar ia segera ditarik balik kerana disifatkan sebagai arahan gila.
Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, banyak lagi yang perlu dibuat oleh pimpinan tentera untuk usaha perkukuh pertahanan negara berbanding langkah pembuangan pantun dalam majlis anjuran ATM.
“PLM meminta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang juga Presiden PAN mengarahkan agar larangan ‘gila’ tersebut ditarik balik. Tidakkah pimpinan ATM sedar bahawa pantun adalah antara warisan budaya Melayu tertua.
“Ia mempunyai nilai estetika yang tinggi di samping pelbagai mesej dapat disampaikan melalui pantun termasuk semangat juang yang tinggi, mempertahankan negara, menyuntik keberanian dan sebagainya,” kata Kamal Shukri.
Mengulas dengan lebih lanjut, beliau berkata bahawa tiada negara lain di dunia berjaya mewarisi puisi pantun yang tinggi nilai estetika lebih ratusan tahun lalu kecuali Malaysia sehingga menjadi rujukan pakar bahasa seluruh dunia.
Tegas beliau, pantun ada pelbagai jenis dan pastinya bukan pantun yang romantis atau bait mendayu-dayu yang akan dibaca oleh juruacara kerana pastinya bijak memilih tema bersesuaian dengan suasana majlis tersebut.
“Tidak mungkin pantun mengenai kisah peperangan akan dibaca dalam majlis makan malam atau pantun mendayu dibaca oleh pengacara ketika majlis tamat latihan anggota tentera,” kata Kamal Shukri dalam nada sindiran.
Semalam tular pekeliling arahan kepada semua Markas Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia agar tiada pantun dan jenaka oleh juruacara ketika majlis rasmi ketenteraan.
Surat larangan yang ditandatangani oleh Ketua Staf Markas ATM, Datuk Kamalruzaman Mohd. Othman menyebut mengenai arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi ketenteraan ATM.
“Satu perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin) telah diadakan berhubung kewajaran penggunaan pantun dalam skrip juruacara semasa berlangsungnya majlis rasmi ketenteraan.
“Hasil daripada perbincangan tersebut adalah dimaklumkan PAT telah memutuskan bahawa tiada lagi penggunaan pantun dalam skrip juruacara bagi setiap majlis rasmi ketenteraan,” kata Kamalruzaman.
ATM dalam satu kenyataan hari ini namun berkata, arahan tersebut hanya melibatkan majlis rasmi ketenteraan yang bersifat regimental dan pelaksanaannya dilakukan dengan tertib, penuh dengan adab dan etika ketenteraan.
Majlis rasmi termasuk dalam larangan itu adalah acara dihadiri Yang di-Pertuan Agong, raja-raja dan pembesar negeri, acara perbarisan dan rasmi dilaksanakan di peringkat ATM serta perkhidmatan tiga cabang ketenteraan.
Bagaimanapun, kenyataan ATM itu menjelaskan bahawa ia masih memberi kelonggaran untuk penggunaan pantun, gurindam, seloka dan seumpamanya di dalam majlis yang tidak bersifat regimental. – Agensi/Mynewshub.TV