SINIS.. “Belum kahwin tetapi sudah bulan madu,” demikianlah perumpamaan diberikan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau mengulas tindakan pelik calon Timbalan Presiden PKR itu yang mengumumkan menang pemilihan baru-baru ini menerusi akaun Twitternya walaupun Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) belum buat keputusan rasmi.
“Baru-baru ini dengar ada pengumuman daripada pihak bertanding, dia kata sudah menang dan sebagainya. Kita belum lagi bernikah, tiba-tiba kita honeymoon (bulan madu), kita kata kita kahwin. Tidak boleh macam itu.
“Kalau katakan PRU (pilihan raya umum) tiba-tiba kita umum menang walhal SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tak umum lagi keputusan. Begitu juga dengan parti PKR, JPP belum buat keputusan tiba-tiba dia kata sudah menang.
“Ini cukup mengarut dan tidak boleh berlaku,” kata Abdullah Sani dalam satu sidang media di lobi Parlimen pada Selasa sebagai merujuk bekas menteri besar Selangor itu mengumumkan kemenangan dirinya sendiri lebih awal.
Dalam satu kenyataan yang ditandatangani sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2018-2021, Mohamed Azmin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana konon meneruskan ‘agenda sebenar reformasi’.
“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota KEADILAN yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” umum beliau bersahaja melalui akaun sosial Twitter peribadinya.
Terdahulu dalam sidang media yang sama, ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mendakwa terdapat satu trend undi yang hilang secara terancang bagi undian jawatan Timbalan Presiden parti berkenaan.
Dakwa beliau, pihaknya mendapati terdapat sebanyak 8,926 undi bagi jawatan Timbalan Presiden telah hilang dan hanya berlaku di negeri-negeri tertentu yang cabangnya dikatakan penyokong calon lawan iaitu Rafizi Ramli.
“Keputusan pemilihan 2018 akan menentukan kepimpinan parti 2018-2021, maka pimpinan parti perlu meneliti perkara ini supaya kepimpinan baharu ini adalah benar-benar yang dipilih sendiri oleh anggota akar umbi parti.
“Saya juga berharap Biro Politik agar dapat memastikan segala permasalahan yang dibangkitkan dapat diselesaikan secara menyeluruh dan disiasat secara rapi,” kata Akmal Nasrullah. – Agensi/Mynewshub.TV