TENNESSEE – Seorang banduan berusia 63 tahun yang disabitkan bersalah melakukan dua pembunuhan menjalani hukuman mati menggunakan kerusi elektrik semalam selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat menolak rayuan saat akhirnya.
Edmund Zagorski, yang memohon tidak mahu menggunakan suntikan maut, diumumkan meninggal dunia pada jam 7.26 malam waktu tempatan semalam di Institut Keselamatan Maksimum Riverbrand di Nashville, kata Jabatan Pemulihan Tennessee dalam kenyataan bertulis.
Beberapa jam sebelum itu, Mahkamah Agung menolak rayuan akhirnya tanpa memberi ulasan.
Zagorski, yang didapati bersalah membunuh dua lelaki pada 1983 yang membawa jumlah wang tunai banyak untuk membeli 45 kilogram marijuana, ialah banduan pertama AS dihukum mati dengan kerusi elektrik sejak 2013.
Peguam beliau berkata, Zagorski percaya kerusi elektrik adalah pilihan kurang menyakitkan berbanding suntikan maut.
Oktober lalu, Mahkamah Agung menolak permintaan Zagorski dan bantuan akhir lain di Tennessee berhubung campuran pelbagai dadah, yang membawa kepada masalah dalam hukuman mati sejak beberapa tahun ini.
Pada perbicaraan 1984, pendakwa raya berkata Zagorski mengumpan John Dotson dan Jimmy Porter ke dalam kawasan hutan di Robertson untuk urusan jual beli dadah, tetapi sebaik mangsa sampai, dia menembak kedua-duanya, mengelar leher mereka dan mencuri wang tunai, menurut rekod mahkamah. – Reuters/BH ONLINE