LIMBANG – Bilik guru SMK Medamit kira-kira 50km dari sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Tawang Lingem berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.28 tengah malam tadi, namun kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.26 pagi.
“Kebakaran melibatkan bangunan bilik guru dua tingkat, dan bahagian yang terbakar ialah tingkat atas dengan peratus kebakaran sekitar 50 peratus,” katanya hari ini.
Tawang berkata bomba menggunakan dua sumber air iaitu dari jentera dan sumber air terbuka untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.
Menurutnya punca kebakaran masih disiasat dan setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku. – BERNAMA