ALOR SETAR – Seorang bayi perempuan sempurna fizikalnya dipercayai baru dilahirkan ditemukan di tepi jalan di Taman Seri Ampang dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, seorang remaja menemukan seorang bayi dalam keadaan masih bertali pusat dan dibaluti kain batik sebelum membawa bayi berkenaan pulang ke rumah.
Sebelum itu difahamkan, remaja terbabit melihat dua lelaki menunggang motosikal berlegar-legar di kawasan tersebut sebelum mereka meninggalkan bungkusan kain batik itu di tepi jalan.
Keluarga remaja itu kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan bayi terbabit sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar tiba dan menghubungi ambulans.
Pemeriksaan terhadap bayi itu dilakukan pasukan perubatan sebelum bayi itu ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita baru bersalin atau dalam keadaan mencurigakan diminta memaklumkan kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Jelasnya, bayi tersebut masih berada di HSB dan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. – UTUSAN ONLINE