SERDANG – Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan termasuk hasil pertanian adalah mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang musim tengkujuh, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.
Beliau berkata pihaknya sudah membuat persiapan sejak enam bulan lepas termasuk kemungkinan terpaksa mengimport jika keadaan memerlukan.
Beliau berkata perancangan awal dibuat adalah berdasarkan pengalaman lalu kementerian berdepan musim tengkujuh bagi menjamin bekalan makanan negara tidak terjejas dengan stok yang mencukupi.
āKita telah unjurkan risiko ini akan berlaku dan jika terjadi, stok makanan negara yang ada adalah mencukupi untuk menampung keadaan semasa bencana.
āJika ada pun kekurangan bekalan kemungkinan hanya melibatkan daging dan kita bersedia dengan pelan membawa masuk ternakan dari negara lain,ā katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Bersama, Kongres Pertanian Antarabangsa (IAC) Ke-8 dan Simposium Antarabangsa Ke-6 Untuk Makanan dan Pertanian (ISFA) 2018 di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata kementerian akan mempertingkatkan kawalan bagi memastikan varieti durian tempatan, khususnya biji benih tidak terlepas keluar ke negara lain dengan mudah.
“Agensi berkaitan di bawah kementerian perlu segera memperketatkan kuarantin agar keselamatan varieti raja buah terutamanya Musang King tidak mudah dibawa keluar dan ditanam dengan meluas di negara lain,ā katanya mengulas dakwaan Musang King telah ditanam di Indonesia dengan biji benihnya dibawa dari Malaysia.
Katanya beliau difahamkan durian Musang King cuba ditanam di Thailand namun tanahnya dikatakan tidak sesuai. – BERNAMA