THOUSAND OAKS – Bekas anggota tempur veteran marin Amerika Syarikat (AS) yang melepaskan tembakan ke arah bar dan dewan tarian dipenuhi pelajar kolej dan mengorbankan 12 lain, dipercayai bertindak sendirian, kata pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Los Angeles.
Penolong pengarah pejabat FBI berkenaan, Paul Delacourt berkata, masih terlalu awal membuat spekulasi berkaitan motif penembak, namun dia jelas bertindak sendirian.
“Kami akan pastikan untuk memeriksa keadaan mental suspek dan melakukan yang terbaik mengenal pasti motifnya,” kata Delacourt, menambah FBI akan menyiasat sebarang unsur ‘radikalisasi’ atau kaitan dengan kumpulan militan.
Penembak terbabit, dikenal pasti polis sebagai Ian David Long, 28, ditemui mati menembak dirinya selepas pembunuhan malam Rabu lalu di Borderline Bar and Grill di sini, kawasan pinggir bandar terletak di barat laut Los Angeles, kata pegawai penguat kuasa undang-undang.
Dalam kejadian itu, Long melepaskan tembakan secara rawak dalam bar bertemakan Barat kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan, menggunakan pistol Glock kaliber .45 dilengkapi peluru berkapasiti tinggi, kata Sherif Ventura, Geoff Dean.
Dean berkata, Long yang bertugas dengan Kor Marin antara 2008 dan 2013 sehingga jawatan korporal serta berkhidmat sebagai penembak mesingan di Afghanistan kemungkinan mengalami gangguan tekanan pasca trauma. –Reuters