KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ulangi pendiriannya tidak sokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya berkata banyak lagi konvensyen berhubung hak asasi manusia yang boleh diberi penekanan namun ICERD bukan salah satu daripadanya.
“ICERD ini semua sedia maklum Timbalan Presiden PPBM (Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir) sudah keluar kenyataan menjelaskan kita (PPBM) tak menerimanya.
“Bersatu sama sekali menolak dan tidak mengakui ICERD salah satu tuntutan yang patut kita tandatangan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan PPBM Kelantan di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Penerangan PPBM, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pengerusi Badan Perhubungan PPBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor.
Pada 9 November lepas, Mukhriz dilaporkan berkata tiada keperluan untuk negara menandatangani ICERD kerana ia tidak bersesuaian dengan situasi ‘unik’ di negara ini.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan, Marzuki berkata PPBM akan sokong calon yang akan diletakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi berkenaan.
Semalam, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah tidak sah dan terbatal dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon PKR, Dr S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Berikutan itu, pada 23 Mei, Dr Streram, seorang pakar bius, memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah. – BERNAMA