KRAKOW (Poland) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin cabaran globalisasi tidak menghalang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk meningkatkan kegiatan penyelidikannya.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sebanyak 26 geran penyelidikan bernilai lebih RM2.3 juta diterima daripada pelbagai pihak dan angka tersebut dijangka terus bertambah sebelum tahun ini berakhir.
Sejak 2003 hingga sekarang, UniMAP menerima 2,049 geran penyelidikan bernilai hampir RM122 juta, titah baginda kepada pemberita selepas majlis makan malam anjuran Jagiellonian University, di sini Ahad malam.
Jumlah itu meliputi geran industri dan antarabangsa, selain geran dalaman dan geran kerajaan untuk kegiatan penyelidikan.
Pada masa sama, baginda berharap penyelidik UniMAP dapat menempa nama dalam bidang yang diceburi terutama yang berimpak tinggi.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin di universiti itu disambut wakil Rektor bagi Pengantarabangsaan universiti Adam W. Jelonek dan Prof. Boguslaw Pacek daripada Institut bagi Timur Tengah dan Timur Jauh.
Jamuan malam itu merupakan program sulung baginda di negara ini sejurus tiba pada Ahad bagi mengetuai delegasi UniMAP dalam lawatan empat hari ke Poland.
Sepanjang lawatan, Tuanku Syed Faizuddin dijadualkan melawat beberapa institusi pengajian tinggi di Lodz dan Warsaw.
Delegasi itu turut disertai Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Mohd Fo’ad Sakdan. – BERNAMA