KUALA LUMPUR – Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya mengubah mentaliti yang selama ini menjadi musuh utama mereka apabila berdepan Thailand.
Beliau berkata, sudah tiba masanya pemain membuktikan kemampuan dengan beraksi lebih yakin tanpa rasa gerun apabila menentang skuad Gajah Perang itu pada separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Saya beritahu pemain, mereka harus menukar persepsi tiap kali jumpa Thailand jangan rasa hanya perlu bertahan, jangan rasa mereka lebih bagus, kali ini saya mahu pemain turun Sabtu ini dengan penuh keyakinan.
“Kemungkinan besar Thailand akan lebih bertahan dan kami lebih menguasai bola dan menyerang tapi sudah pasti kami kena berjaga-jaga kerana mereka memiliki dua, tiga pemain yang boleh menjaringkan gol,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Nilai, dekat sini hari ini.
Malaysia, juara 2010, akan membuat perhitungan sekali lagi dengan Thailand, juara lima kali selepas kali terakhir mereka bertemu di Bukit Jalil pada final 2014 yang menyaksikan tuan rumah menang 3-2 namun kecewa menerusi agregat 3-4.
Sejak kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara itu diadakan pada 1996, Harimau Malaya hanya menang dua kali, seri tiga dan tewas tujuh kali kepada Thailand.
Menurut Cheng Hoe yang menjadi pembantu Datuk K Rajagobal ketika Malaysia muncul juara 2010, beliau mahu pemainnya memburu jaringan awal untuk menyentap semangat Thailand.
“Sudah tentu dalam setiap perlawanan, kami mahukan gol awal. Gol awal ini akan memberi keyakinan kepada pemain untuk mempamer aksi lebih baik.
“Saya pesan kepada pemain supaya lebih fokus, kerana ia cukup penting jika mahu layak ke perlawanan akhir. Tapi dalam perlawanan timbal balik ini, kami juga kena pastikan pintu gol tidak dibolosi,” katanya.
Selepas aksi di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan bertandang ke Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok bagi pertemuan separuh akhir kedua pada 5 Disember depan. – BH Online