PRAGUE – Pemain beregu nombor satu dunia Katerina Siniakova dan pemain veteran Barbora Strycova membantu Republik Czech berada di ambang satu lagi kejuaraan Piala Fed pada final menentang juara bertahan Amerika Syarikat, awal pagi tadi.
Kemenangan mereka pada hari pembukaan memastikan Czech mendahului 2-0 menjelang hari terakhir hari ini ketika mereka memburu kejuaraan keenam Piala Fed sejak 2011 menentang satu-satunya negara yang memenangi kejuaraan lebih banyak.
Dua pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu berdepan antara satu sama lain tanpa pemain utama mereka.
Pemain AS, Serena dan Venus Williams, Madison Keys dan Sloane Stephens semuanya tidak boleh beraksi manakala bagi Czech, pemain nombor lapan dunia Karolina Pliskova menarik diri kerana cedera dan Petra Kvitova diketepikan pada hari pertama kerana sakit.
Ia menyebabkan peranan diberikan kepada Siniakova, yang menewaskan Alison Riske 6-3, 7-6 (7/2) dan pemain veteran Strycova, yang mengalahkan Sofia Kenin 6-7 (5/7), 6-1, 6-4.
“Saya mencuba… apabila saya berpeluang untuk bertindak agresif,” kata Siniakova, yang memenangi kejuaraan beregu Terbuka Perancis dan Wimbledon musim ini bersama Barbora Krejcikova.
Ia permulaan bagus buat Czech, pemenang lima daripada tujuh kejuaraan terakhir Piala Fed dan tidak kalah dalam 10 aksi di laman sendiri sejak 2009. – Reuters