SEREMBAN – Hujan lebat sejak petang semalam, mengakibatkan kejadian tanah runtuh hingga bahagian dapur sebuah rumah rosak, di Kampung Kuala Talang, Kuala Pilah dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 10.35 malam dan sepasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pukul 10.51 malam.
“Runtuhan berlaku di tebing bahagian belakang rumah itu kira-kira 10 malam akibat pergerakan tanah berikutan kedudukan rumah itu di kawasan yang sedikit tinggi. Terdapat tiga deretan rumah di kawasan itu dan hanya sebuah rumah sahaja yang terjejas.
“Semasa kejadian, tiada orang di rumah dan penghuni rumah hanya sedar kejadian itu selepas pulang ke rumah dan melihat bahagian dapur rumahnya telah rosak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
“Tetapi penghuni dari ketiga-tiga buah rumah berkenaan, diarahkan berpindah sebagai langkah keselamatan dan kita tidak tolak kemungkinan akan berlaku runtuhan susulan,” katanya. – BERNAMA