KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalami kerugian sebanyak RM18,137,507 berikutan tunggakan sewa terkumpul daripada penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) setakat 31 Oktober lepas.
DBKL dalam satu kenyataan hari ini berkata jumlah itu melibatkan 26,860 penyewa PPR dan PA yang gagal menjelaskan sewa bulanan mereka sebanyak RM124 sebulan.
Menurut kenyataan, sewa itu amat rendah berbanding dengan kos pengurusan dan penyelenggaraan yang ditanggung oleh DBKL yang dianggarkan RM300 sebulan bagi setiap unit PA dan PPA.
Justeru, penyewa adalah dinasihatkan supaya menjelaskan tunggakan sewa dengan segera bagi memastikan perjanjian penyewaan tidak ditamatkan, menurut kenyataan itu.
DBKL akan menamatkan perjanjian penyewaan serta-merta ke atas PA dan PPR mana-mana penyewa yang masih ingkar menjelaskan tunggakan sewa mereka.
Mereka juga dikehendaki mengosongkan unit dan menyerahkan semula rumah PA atau PPA kepada DBKL setelah perjanjian penyewaan tamat tempoh.
DBKL juga boleh meneruskan proses pengambilalihan semula sekiranya penyewa gagal menyerahkan rumah-rumah itu. – BERNAMA