LONDON – Pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne dijangka tidak cukup cergas untuk beraksi menentang pasukan lamanya Chelsea di Stamford Bridge pada 8 Disember ini, menurut sumber dalaman kelab.
Pemain antarabangsa Belgium itu belum kembali menjalani latihan penuh selepas mengalami kecederaan lutut dan dijangka tidak dapat beraksi menentang Bournemouth pada Sabtu ini dan berdepan Watford, Selasa depan.
City berharap Bernardo Silva mampu kembali beraksi menentang skuad Eddie Howe di tempat sendiri selepas mengalami kecederaan ketika misi antarabangsa bersama Portugal yang memaksanya tersisih dua perlawanan terakhir bersama City.
Ilkay Gundogan pula tersisih ketika seri 2-2 menentang Lyon di tempat lawan kelmarin dalam aksi Liga Juara-Juara akibat kecederaan kaki.
Pengurus Pep Guardiola dijangka memberi peluang kepada pemain Akademi City, Phil Foden menyertai kesebelasan utama buat kali pertama dalam Liga Perdana.
Bagaimanapun City tetap waspada dengan kepulangan De Bruyne demi memastikan dia benar-benar bersedia selepas dua bulan tersisih akibat kecederaan ligamen ketika menjalani latihan.
De Bruyne, 27, yang melakukan penampilan kedua musim ini ketika menentang Fulham dalam aksi Piala Carabao pada 1 November lalu turut mengalami kecederaan lutut lain dan dijangka tidak dapat beraksi selama enam minggu.
Kelab menjangkakan dia hanya akan kembali beraksi menentang Hoffenheim dalam aksi Liga Juara-Juara pada 12 Disember depan.
Benjamin Mendy, Claudio Bravo dan Eliaquim Mangala antara pemain yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan. – AGENSI