WASHINGTON – Seorang anggota Kongres atasan Demokrat berkata semalam, satu jawatankuasa dewan akan menyiasat anak perempuan Presiden Donald Trump, Ivanka dan seorang penasihat penting Rumah Putih, susulan laporan beliau berulang kali menggunakan akaun emel peribadi untuk urusan kerajaan.
Satu semakan Rumah Putih terhadap emel Ivanka mendapati, beliau menggunakan akaun peribadinya sehingga 100 kali tahun lalu untuk menghubungi pegawai pentadbiran lain Trump, lapor akhbar The Washington Post kelmarin, memetik individu yang biasa dengan semakan itu.
Penggunaan akaun peribadi untuk urusan kerajaan berpotensi melanggar undang-undang mensyaratkan memulihara semua rekod presiden.
Bapanya, seorang anggota Republikan, berulang kali mengecam lawannya dari Demokrat, Hillary Clinton dalam kempen pilihan raya presiden 2016 berhubung penggunaan akaun emel peribadi dan pelayan persendirian ketika menjadi Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS).
Perwakilan AS, Elijah Cummings, anggota atasan Demokrat dalam Jawatankuasa Pengawasan Dewan berkata, panel itu akan menyiasat komunikasi Rumah Putih apabila parti itu mengambil alih Dewan Perwakilan Kongres Januari depan.
“Kami bercadang untuk meneruskan siasatan berhubung Akta Rekod Presiden dan Akta Rekod Persekutuan dan kami mahu tahu jika Ivanka mematuhi undang-undang,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.
Cummings, dalam satu kenyataan berasingan berkata, Rumah Putih tidak menyerahkan dokumen yang diminta.
Rumah Putih tidak menjawab permohonan untuk mengulas, namun penggunaan akaun emel peribadi oleh Ivanka berbeza daripada Clinton.
“Untuk tempoh seketika, Ivanka menggunakan emel. Ia bukan sulit seperti Hillary Clinton. Ia bukan dipadam seperti Hillary Clinton. Beliau tidak melakukan apa-apa untuk menyembunyikan emelnya. Tiada pelayan dalam bilik bawah tanah seperti dimiliki Clinton,” kata Trump.
Jurucakap untuk peguam etika Ivanka Abbe Lowell, Peter Mirijanian memberitahu akhbar, emel itu dilakukan sebelum Ivanka menyedari peraturan penyimpanan rekod kerajaan.
Sejak itu, beliau menyerahkan semua emel berkaitan kerajaan disimpan bersama rekod Rumah Putih lain, lapor akhbar. – Reuters/BH ONLINE