PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan lagi keperluan untuk negara-negara Islam anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggunakan mata wang masing-masing dalam pelaburan dua hala.
Erdogan menyatakan demikian dalam ucaptamanya di mesyuarat ke-34 Jawatankuasa Kerja Ekonomi dan Kerjasama Perdagangan OIC (COMCEC) di Istanbul semalam.
Agenda ini telah dimasukkan dalam pelan pelaksanaan Turki dan usaha yang konkrit sudah dilaksanakan ke arah merealisasikannya.
Turki telah beberapa kali menyuarakan pandangan agar mata wang tempatan digunakan dalam perdagangan dengan rakan dagang utama kalangan negara Islam untuk mengelakkan tekanan pertukaran mata wang asing.
Menggunakan mata wang sendiri antara negara Islam merupakan satu langkah penting memecahkan belenggu penjajahan, kata Erdogan.
Meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara ahli COMCEC pula akan menjadikan negara Islam terbabit lebih kuat, katanya lagi.
Erdogan sebelum ini telah beberapa kali mengingatkan negara Islam tentang tekanan krisis global yang menjejaskan negara Islam, menyeru agar langkah-langkah penting diambil untuk menepis tekanan kadar tukaran antarabangsa.
Beliau menekankan pendekatan kewangan secara bersama dan indeks emas dalam menentukan nilai mata wang sebagai langkah yang betul.
Presiden Turki itu juga menekankan yang negara Islam perlu menggunakan platform dan kemudahan sedia ada untuk membantu memyelesaikan masalah masing-masing.
“Semakin banyak kita melabur dalam negara sesama anggota COMCEC, semakin meningkat jumlah perdagangan kita, maka kita akan jadi lebih kuat,” katanya.
“Saya mahu sekali lagi menekankan kepentingan negara-negara OIC dalam kalangan negara OIC kepada 25 peratus.”
“Tidak ada cara lain selain daripada menggunakan mata wang kita sendiri,” tegas Erdogan, sambil menggesa semua negara lebih banyak terlibat dalam aktiviti Bank Pembangunan Islam dan institusi di bawahnya untuk memudahkan perdagangan.
Agenda mengukuhkan kerjasama kalangan negara Islam ini pernah menjadi agenda Turki semasa pemerintahan Perdana Menteri Necmettin Erbakan, yang pada 1997 menubuhkan pertubuhan lapan negara membangun (D8) untuk mencapai matlamat penyatuan dunia Islam termasuk ekonomi.
Kumpulan ini meliputi negara-negara membangun utama dunia, iaitu Turki, Mesir, Nigeria, Iran, Pakistan, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia.
Antara agenda diletakkan sebagai matlamat D8 termasuk mata wang dunia Islam yang tunggal untuk kegunaan perdagangan antara negara-negara Islam tanpa menggunakan dolar Amerika Syarikat. – DS/Mynewshub.tv