PENGARAH dan pelakon Erma Fatima memberi syarat kepada adiknya, Datik Seri Umie Aida yang ingin menjadi seorang pengarah.
Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 50, berkata menjadi seorang pengarah perlu memilih lokasi yang terbuka dengan cuaca panas.
Selain itu, dia juga kena sentiasa bersemangat untuk menghabiskan penggambaran dan menghasilkan karya dengan sepenuh jiwa.
“Hmmm… Syarat-syarat nak jadi pengarah untuk hang (awak) @umieaida9. Jangan pilih lokasi yang tak panas saja.
“Pengarah kena tahan panas. Bukan nak bermanja-manja kat set nak penghawa dingin bagai. Pengarah tak boleh asal ada ya.
“Pengarah juga tak boleh semangat nak penggambaran dua hari pertama saja. Selebihnya adalah melukislah karya hang dengan warna-warna dari jiwa,” katanya.
Erma turut memuat naik video dia sedang menyiapkan drama yang akan diarahkan oleh Umie bertajuk Lelaki Melayu Terakhir di laman Instagramnya.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Mak Cun ini berharap Umie fikir sebaik mungkin sebelum mahu menjadi pengarah.
Baginya, seorang pengarah bukan sekadar hanya duduk di hadapan monitor untuk memberi arahan sahaja.
“Jadi, fikir baik-baik sebelum nak jadi pengarah. Jangan jadi pengarah yang duduk depan monitor cakap action-cut saja.
“Kalau macam tu nenek ku (aku) pun boleh jadi pengarah. Semoga berjaya,” ujarnya.
Umie baru sahaja memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik (filem) pada malam Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) menerusi filem Dukun. – mStar Online