GEORGE TOWNV- Parti Gerakan tidak lagi mendatangkan ancaman kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang, kata Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata selepas kekalahan mereka (Gerakan) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Gerakan masih cuba selaraskan kedudukan mereka di negeri dan peringkat pusat.
“Parti Gerakan telah tarik diri daripada Barisan Nasional dan mereka tidak lagi membawa ancaman kepada kita pada masa yang terdekat manakala parti lain yang bertanding di Pulau Pinang juga tidak lagi aktif selepas PRU14,” katanya dalam ucapan ketika Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung, Lim Guan Eng di sini hari ini.
Beliau berkata hampir keseluruhan barisan pembangkang di Pulau Pinang ditewaskan dan Umno hanya dapat mengekalkan dua kerusi DUN manakala PAS menang satu kerusi disebabkan oleh kehilangan kelayakan untuk bertanding oleh calon dari PH.
“Namun, parti pembangkang di Pulau Pinang akan sentiasa cuba memainkan peranannya dalam persidangan DUN Pulau Pinang, tetapi pihak Pakatan Harapan terus berusaha mempertahankan dasar-dasar Kerajaan Negeri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Konvensyen Biasa Negeri tahun ini adalah amat bersejarah kerana DAP Pulau Pinang bukan sahaja dapat mempertahankan kedudukannya di Pulau Pinang pada kali ketiga dengan majoriti yang lebih tinggi, tetapi juga dapat menawan Kerajaan Persekutuan selepas PRU14.
Chow, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata parti-parti komponen PH khususnya DAP akan terus memainkan peranannya bagi mencapai misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang progresif, demokratik dan makmur.
Beliau berkata setelah bertungkus-lumus selama 52 tahun, akhirnya PH berjaya menubuhkan Kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Di Pulau Pinang, DAP telah menang buat kali ketiga dengan mandat yang lebih tinggi, sebanyak 37 kerusi daripada 40 DUN manakala mengekalkan semua tujuh kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN selepas PRU14 dan DAP diberi jawatan Ketua Menteri dan tujuh jawatan Exco,” katanya.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.
DAP dan PKR masing-masing berjaya mengekalkan 19 dan 14 kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRU13 manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menang di Teluk Bahang dan Bertam, sebelum ini ia adalah kerusi milik PKR, dan Amanah di Permatang Pasir dan Bayan Lepas.
Barisan Nasional (BN) mempertahankan dua kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13 iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala PAS menang di Penaga. – BERNAMA