KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) tidak terlalu selesa dengan penambahbaikan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Belanjawan 2019 hari ini.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, berkata bantuan terbabit dikhuatiri akan menyebabkan golongan berkenaan kurang produktif dan hanya mengharapkan insentif kerajaan semata-mata.
“Bantuan bagi meringankan beban isi rumah dalam mengharungi kehidupan di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar amat digalakkan, namun kita bimbang mereka tidak akan menghargainya malah akan bersenang-lenang tanpa perlu buat apa-apa.
“Sepatutnya kerajaan bantu dengan ‘mengikat’ atau menggerakkan golongan terbabit menerusi amalan pekerjaan atau latihan supaya mereka akan memperoleh imbuhan tanpa perlu terlalu dimanjakan.
“Justeru, diharapkan insentif yang bakal dilaksanakan tidak akan dikekalkan, sebaliknya hanya berfungsi untuk menggalakkan menerima manfaat yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam Belanjawan 2019, kerajaan akan meneruskan dan menambah baik BSH bagi golongan B40 dengan menyalurkan peruntukan secara lebih bersasar.
Antara penambahbaikan yang bakal dilaksanakan adalah golongan isu rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah bakal menerima RM1,000.
Selain itu, isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750 manakala isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM3,001 hingga RM4,000 akan diberikan bantuan bernilai RM500.
Sementara itu Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman meminta kerajaan mengkaji semula mekanisme subsidi petrol bagi pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc yang bakal menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.
Katanya, subsidi petrol RON95 sebanyak 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal yang diperuntukkan tidak mencukupi kerana jarak antara tempat kerja dan tempat tinggal jauh.
“Kita harap kerajaan akan kaji semula sebab ada ramai yang tinggal di Tanjung Malim dan Negeri Sembilan tetapi bekerja di Kuala Lumpur.
“Subsidi yang diperuntukkan dikhuatiri tidak dapat mengurangkan bebanan golongan terbabit yang berulang-alik setiap hari,” katanya.
Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi, berkata pembaharuan insentif yang diumumkan sudah pastinya akan menggembirakan golongan berkenaan.
“Jika dahulu Bantuan Rakyat Malaysia (BR1M) adalah bantuan kewangan semata-mata, insentif kali ini merangkumi skim perlindungan insurans, bantuan kesihatan dan pengangkutan yang akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Penambahbaikan yang dilaksanakan ternyata dapat menjamin kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh malah lebih baik daripada BR1M.
“Insentif yang diumumkan dirangka dengan baik malah kerajaan lebih prihatin dan telus dalam menguruskan ekonomi malah berdaya mampu dalam meningkatkan pembaharuan walaupun berdepan dengan masalah kewangan,” katanya. – BH ONLINE