TAHNIAH… Skuad Harimau Malaya berjaya lunas dendam terhadap Myanmar dengan raih menang 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan A malam ini, Piala AFF sekali gus tempah tiket ke separuh akhir.
Tiga mata yang cukup berharga diraih anak buah Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara dapat padam luka di Yangon pada kejohanan dua tahun lalu apabila disingkirkan lawan yang sama di peringkat kumpulan.
Kemenangan ketiga itu meletakkan Malaysia yang juga juara 2010 naik di tangga kedua, dengan sembilan mata di belakang pendahulu Vietnam (10 mata) yang menewaskan Kemboja 3-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Menyedari hanya kemenangan bakal dapat buka laluan ke pusingan separuh akhir, skuad negara mula bertindak mengatur gerakan sejak awal permainan dalam usaha untuk memecahkan benteng kuat pertahanan Myanmar.
Selepas percubaan kapten, Zaquan Adha Abd. Radzak diselamatkan oleh penjaga gol lawam, Kyaw Zin Htet pada minit ke-23, gol pertama pasukan tuan rumah akhirnya hadir tiga minit selepas itu.
Sepakan pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh terkena palang, namun penyerang, Norshahrul Idlan Talaha berada tepat pada masanya untuk tolak masuk bola lantunan itu ke dalam gawang.
Ia sekali gus menggamatkan lebih 80,000 penyokong Harimau Malaya penuh di stadium. Ini jaringan keempat Norshahrul atau dikenali sebagai Mat Yo selepas bantu Malaysia tewaskan Kemboja 1-0 dan Laos 3-1 sebelum ini.
Namun pintu gol negara cemas seketika apabila Myanmar hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-42, namun Farizal Marlias yang menggantikan Khairul Fahmi Che Mat tangkas menyelamatkan sepakan Aung Thu.
Skuad Harimau Malaya bergaya menutup babak pertama dengan kedudukan 2-0, selepas pertahanan pasukan pelawat Lwin Moe Aung menjatuhkan Safawi Rasid di dalam kotak penalti.
Zaquan yang menggalas tugas untuk menyempurnakan sepakan penalti lega apabila bola sepakannya terkena kiri sebelum bergolek ke dalam gawang skuad kendalian jurulatih Jerman, Antoine Hey tersebut.
Malaysia terus menguasai permainan pada babak kedua, namun hanya berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-87, apabila bola yang cuba dikeluarkan pertahanan Myanmar terkena kepala Zaquan sebelum masuk ke gawang.
Di peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung secara timbal balik bermula 1 Disember ini, lawan Malaysia bakal ditentukan sama ada Thailand, Filipina atau Singapura yang kini rebut slot dalam Kumpulan B.