OTTAWA – Lelaki Syria yang menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai tempat tinggal selama tujuh bulan diberikan suaka di Kanada.
Nasib yang menimpa Hassa al-Kontar mendapat perhatian global apabila kerap menyiarkan video dari KLIA.
Kontar, 37, menghabiskan dua bulan terakhir dalam pusat tahanan Malaysia dan penajanya di Kanada mahu kes beliau dipercepatkan.
Beliau mendarat di Vancouver, Kanada, petang semalam waktu tempatan.
Dua pertubuhan, Persatuan Islam British Columbia dan Canada Caring Society, menaja beliau ke Kanada sebagai pelarian.
Sukarelawan Canada Caring Society, Laurie Cooper, memberitahu Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) pihak mendapat tahu Kontar akan tiba di Kanada Khamis lalu.
“Ia amat melegakan, tetapi masih tidak boleh dipercayai. Sehingga saya dapat memeluknya di lapangan terbang, ia belum realiti lagi.
“Ia perjalanan panjang dengan banyak perkara berlaku,” katanya.
Peguamnya juga mengesahkan, penempatan beliau di Kanada sudah disahkan dan Kontar dalam perjalanan ke negara itu. — Agensi