KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan menyeru semua pihak menghentikan segala bentuk provokasi terutamanya di media sosial berkaitan isu kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights yang berlaku sejak awal pagi Isnin lepas, hingga boleh mencetuskan ketegangan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya mengikuti perkembangan kes itu dan menzahirkan simpati ke atas mereka yang menjadi mangsa dalam rusuhan berkenaan.
Beliau berkata semua pihak diminta bertenang dan tidak melakukan apa jua tindakan yang boleh membawa kepada konflik yang lebih meruncing.
“Peringatan kepada mana-mana pihak untuk tidak mencurahkan minyak ke dalam api yang marak kerana ia bakal membawa kerosakan yang jauh lebih memudaratkan. Isu ini perlu ditangani dengan serius tetapi amat berhati-hati
“Kita sebagai rakyat Malaysia tidak sudi mempertaruhkan masa depan kita bersama, atas isu yang pada hakikatnya boleh diselesaikan dengan penuh muhibah,” kata Zulkifli dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, keharmonian antara kaum yang dinikmati hasil daripada keutuhan pegangan kepada Rukun Negara wajar dipertahankan.
“Sahabat-sahabat kami kaum India, Cina, Melayu dan lain-lain selaku rakyat Malaysia sudah pasti cukup matang dalam menilai insiden rusuhan kuil berkenaan yang langsung tidak membabitkan isu perkauman dan agama,” katanya.
Jelasnya, rundingan perdamaian antara pihak yang berkaitan perlu dimulakan segera agar ketegangan yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik.
Zulkifli pada masa sama turut merakamkan ucapan tahniah kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta kerajaan negeri Selangor atas tindakan pantas dalam menangani insiden ini.
Pihaknya juga mendoakan semoga keadaan anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan berkenaan, Muhamma Adib Muhammad Kassim, 24, bertambah baik dari semasa ke semasa. – BERNAMA