KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan semua peserta himpunan besar-besaran membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) supaya berpakaian putih serta tidak membawa sebarang lambang yang mewakili mana-mana parti politik.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik turut dijemput untuk bersama dalam himpunan pada 8 Disember ini sambil membawa Jalur Gemilang.
“Kami menyambut baik dan akan menyertai atas asas penganjuran ini adalah himpunan aman rakyat. Oleh itu kami mengesyorkan kepada rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian dapat menzahirkan dengan berpakaian putih pada hari itu.
“Majoriti rakyat cintakan keamanan, jadi kita membantah apa juga usaha yang boleh mencetuskan dan memporak-perandakan keharmonian kepelbagaian agama dan kaum yang salah satunya adalah berkenaan ratifikasi ICERD,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berharap rakyat dapat keluar beramai-ramai dan menyertai himpunan tersebut sebagai menzahirkan hasrat agar negara kekal aman dan harmoni.
“Pakaian putih pada hari itu adalah tanda aman dan harmoni. Saya sarankan kepada semua juga supaya tidak perlu bawa lambang parti termasuk kepada penyokong Pakatan Harapan, PKR, Bersatu, DAP dan Amanah sebagai lambang cinta kita kepada negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE