KENINGAU – Ibu bapa perlu membudayakan etika dan peraturan sihat dalam penggunaan gajet serta pelayaran siber dalam institusi keluarga masing-masing bagi membendung pengaruh negatif ketika menggunakan teknologi komunikasi itu.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong berkata ledakan gajet serta pelayaran alam siber dalam era globalisasi kini sangat mencabar, dan ibu bapa dikehendaki mengawasi penggunaan gajet dan pelayaran siber dalam kalangan anak-anak mereka.
“Internet Saling Berhubung (IoT) menguasai kehidupan manusia dan dalam masa sama berupaya mengubah cara hidup, nilai dan norma sekali gus mencabar kesemulajadian manusia itu sendiri. Kemajuan itu (ledakan siber dan gajet) jika tidak digunakan dengan sebijaknya boleh mendatangkan mudarat kepada manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Sabah 2018, bertemakan ‘Keluarga Bijak Siber, Sekeluarga Tolak Pornografi”, anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, hari ini.
Teks ucapan Stephen dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Rasinin Koutis. Turut hadir pada program dihadiri kira-kira 300 penduduk itu ialah Penolong Pegawai Daerah Keningau Ahmad Shah Mohd Sunoh.
Stephen berkata kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 (KPKM-5, 2014) mendapati telefon adalah medium komunikasi paling tinggi digunakan golongan remaja dan ibu bapa sebanyak 73 peratus, diikuti sistem pesanan ringkas (54.6 peratus) dan media sosial (15.6 peratus).
“Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2017 pula mendapati 83.2 peratus kanak-kanak dalam lingkungan usia lima hingga 17 tahun merupakan pengguna internet dan 93 peratus kanak-kanak menggunakan telefon pintar untuk melayari internet.
“Kedua-dua (dapatan) kajian ini menunjukkan penggunaan telefon merupakan medium komunikasi utama bagi kanak-kanak dan jika tidak dipantau sewajarnya, mereka terdedah kepada bahaya alam siber seperti pornografi dan penderaan seksual,” katanya.
Beliau berkata tinjauan LPPKN ke atas 1,165 ibu bapa mengenai peranan mendidik serta pengaruh gajet mendapati 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak-anak mereka memiliki dan menggunakan gajet.
Menurutnya kajian LPPKN itu juga mendapati 48 peratus ibu bapa mengehadkan masa penggunaan gajet, 24.3 peratus memeriksa perisian, 15.1 peratus melarang penggunaan dan 3.7 peratus tidak memantau penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak mereka.
“Tahap kesedaran ibu bapa mengenai perkara ini (penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak) cukup rendah dan membimbangkan,” katanya.
Justeru, beliau berkata LPPKN menganjurkan kempen ‘No Gadget Hour’ yang bertujuan memastikan ibu bapa mempunyai masa berkualiti dengan anak-anak dan tidak menggunakan gajet ketika bersama keluarga. – BERNAMA