SHAH ALAM – Panel Hak Asasi Manusia-Majlis Dakwah Negara (MDN) sedia bertemu dan berbincang dengan semua pihak termasuk kerajaan bagi mendapatkan pandangan berkaitan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum 1966 (ICERD).
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Torla Hassan berkata, pihaknya juga sedia mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam usaha mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung isu itu.
Beliau menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengambil kira pandangan semua pihak berkaitan dalam isu berkenaan.
“Rundingan awam ini sangat perlu bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati yang mungkin boleh menimbulkan ketidakstabilan kepada negara dari aspek perundangan, sosial ataupun hubungan antara kaum,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir menegaskan rundingan semua kaum akan dilakukan sebelum Malaysia meratifikasi ICERD.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited mengesahkan enamtriti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.
Bagaimanapun, kenyataan itu menimbulkan keresahan beberapa pihak antaranya dalam isu kemungkinan terhakisnya hak istimewa orang Melayu.
Dalam pada itu, Torla berkata, kerajaan tidak perlu terburu-buru dalam mengambil ketetapan meratifikasi konvensyen itu.
Katanya, isu-isu sensitif dalam negara perlu ditangani penuh kebijaksanaan mengikut keadaan setempat khususnya di Malaysia.
“Tidak semua nilai yang dilihat baik di peringkat global perlu ditanam di peringkat lokal kerana nilai tersebut perlu digarap berdasarkan susun atur budaya, agama dan norma lazim setempat,” katanya.
Katanya, panel itu berpendirian ICERD tidak perlu diratifikasikan kerana memberi impak perundangan khususnya Perlembagaan Persekutuan.
“ICERD bertujuan menghapus segala bentuk diskriminasi termasuklah yang positif seperti hak orang Melayu, kedudukan istimewa agama Islam dan Raja-Raja Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Ia perlu diperhalusi kerana ia mungkin akan mengubah norma lazim yang diamalkan di Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Panel Hak Asasi Manusia-MDN menentang sebarang kezaliman dan penindasan terhadap mana-mana orang sama ada dari kalangan majoriti atau minoriti dari mendapat hak asas mereka sebagaimana diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Semua orang mempunyai hak yang sah ditentukan oleh perlembagaan, malah dalam agama Islam juga, hak ini termasuk hak orang bukan Islam adalah terpelihara dan menjadi tanggungjawab setiap orang Islam mempertahankan hak yang sah ini,” katanya. – Sinar Harian Online
.