STOCKHOLM – Syarikat perabot Sweden, Ikea, berkata ia bercadang mengurangkan 7,500 pekerjaan di seluruh dunia menjelang 2020, terutamanya kerja pejabat, berikutan penyusunan semula operasi untuk beri tumpuan kepada e-perdagangan dan kedai yang lebih kecil di pusat bandar.
Pengurangan pekerjaan itu memberi kesan kepada hampir lima peratus kakitangan di Ingka Holding, syarikat induk kumpulan itu. Ikea adalah jenama terbesarnya dengan barisan 367 cawangan di 30 negara membabitkan 160,000 kakitangan.
Keputusan itu dibuat bagi menerajui perniagaan yang lebih mudah, berkesan dan cekap.
Demikian menurut Pengurus Peruncitan Ingka, Tolga Oncu kepada AFP.
Pekerjaan akan dikurangkan di seluruh dunia tetapi unit kedai dan pengedaran tidak terbabit, katanya.
Ikea, menerusi Ingka, akan pada masa sama mengambil 11,500 pekerja dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memenuhi keupayaan digital syarikat dan bercadang untuk membuka sekitar 30 kedai baharu.
“Landskap peruncitan berubah pada skala dan kadar yang belum dilihat sebelum ini. Berikutan tabiat pengguna berubah dengan cepat, kami melabur dan membangunkan perniagaan untuk memenuhi keperluan mereka dengan kaedah baharu dan secara lebih baik lagi,” kata Ketua Eksekutif Ingka, Jesper Brodin, dalam satu kenyataan. – AFP/BH ONLINE