MELAKA – Pengiklanan jawatan kosong yang mengutamakan pemohon berkebolehan berbahasa Cina bagi jawatan jururawat terlatih (SRN) di Hospital Pakar Putra di sini tidak wajar diperbesarkan, kata Ketua Menteri, Adly Zahari.
Beliau berkata ini kerana kebolehan berbahasa Cina ialah nilai tambah bagi syarat pemohonan jawatan itu kerana kelebihan berkenaan diperlukan untuk berkomunikasi dengan pesakit atau pelancong dari China yang mendapatkan rawatan di pusat perubatan milik kerajaan negeri itu.
Katanya, pengiklanan berkenaan tidak menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termasuk dalam berurusan dengan agensi, jabatan dan anak syarikat kerajaan negeri Melaka.
Terdapat terdapat keperluan bagi hospital berkenaan mendapatkan petugas yang boleh berbahasa Mandarin berikutan peningkatan jumlah pesakit dari China serta kekurangan petugas yang menguasai bahasa tersebut, katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program ‘Hari Bertemu Rakyat Perdana Siri 2/2018 di sini hari ini ketika diminta mengulas iklan tersebut yang tular di media sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp semalam. – BERNAMA