KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyuarakan rasa kecewa terhadap institusi pendidikan yang hanya menumpukan kepada pencapaian akademik, namun tidak melahirkan manusia dengan hati nurani dan etika.
Beliau berkata hasil pendidikan seperti itu menjadikan golongan sarjana dilihat hanya membisu apabila berlakunya rompakan berbilion ringgit wang negara melalui skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya rompakan yang begitu besar itu bukan hanya disumbang oleh nafsu serakah anggota politik sahaja, namun juga kerana golongan-golongan sarjana ini berdiam diri, malah ada yang bersengkongkol mempertahankan ‘kedurjanaan’ yang menimpa bangsa, rakyat dan negara.
“Mereka sanggup menjadikan diri mereka perkakasan murahan atas nama kaum atau agama. Serban mungkin besar, janggut mungkin panjang, ijazah mungkin berjela, tetapi tak ada hati nurani dan etika,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Za’ba 2018 di Universiti Malaya, di sini.
“Sebab itu saya bawa dalam konteks pendidikan; jangan gedung, perpustakaan dan professornya gagah, sekadar beri pendidikan tetapi tak mampu lahirkan manusia yang berakhlak dan beretika,” tambahnya. – BERNAMA