KUALA LUMPUR – Integrasi ekonomi ASEAN dapat direalisasikan menerusi usaha bersepadu antara negara anggota ASEAN (AMS).
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, AMS perlu meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan mengenai langkah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan mengukuhkan industri domestik bagi membolehkan penyertaan dalam rantaian nilai global.
Selain itu, AMS juga perlu mengutamakan penambahbaikan infrastruktur serantau serta meningkatkan peruntukan kewangan dan sumber manusia ke arah integrasi ekonomi serantau.
“Oleh itu, pihak berkepentingan perlu mengukuhkan kerjasama dalam mengatasi cabaran demi menjayakan AEC 2025,” menurut laporan itu.
Sementara itu, berdasarkan cabaran global semasa, pasaran kewangan yang saling bergantung hasil daripada integrasi ekonomi yang lebih mendalam dan padu boleh meningkatkan risiko kewangan di rantau ini.
Faktor lain yang mungkin melemahkan integrasi ekonomi ASEAN adalah ketegangan perdagangan global, pertumbuhan ekonomi China yang semakin perlahan serta normalisasi kadar faedah.
Dasar perlindungan perdagangan menerusi halangan perdagangan, seperti pengenaan tarif import oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan China, untuk melindungi pasaran domestik sesebuah ekonomi turut boleh menggugat integrasi ekonomi serantau dan menjejaskan perdagangan.
Walaupun AS secara relatifnya kekal sebagai pasaran kecil bagi ASEAN, namun pasaran tersebut semakin berkembang bagi eksport barangan keluli dan aluminium ASEAN, justeru itu, dasar perlindungan AS akan kekal sebagai risiko kepada pertumbuhan ekonomi dan integrasi serantau bagi jangka panjang.
“AMS perlu mengambil langkah bersesuaian sebagai pelengkap bagi liberalisasi dan integrasi pasaran kewangan masing-masing. Ia termasuk usaha membina keupayaan yang diperlukan dan mewujudkan dasar makroekonomi yang mantap serta konsisten bagi meminimumkan kesan risko berkenaan,” menurut laporan itu.
Meskipun ASEAN menghadapi pelbagai cabaran di samping perbezaan sistem politik dan tahap pembangunan ekonomi dalam kalangan AMS, AEC menyediakan peluang yang luas kepada rantau ini.
“Sehubungan itu, Rangka Tindakan AEC 2025 dijadikan panduan untuk mentransformasikan ASEAN sebagai sebuah rantau perdagangan berprestasi tinggi dan destinasi pelaburan yang menarik dengan memberi tumpuan kepada faedah integrasi sektor kewangan.
“Faedah tersebut adalah aliran bebas perdagangan perkhidmatan, aliran modal yang lebih bebas, pasaran modal bersepadu di ASEAN, serta pengharmonian sistem pembayaran dan penyelesaian ASEAN,” menurut laporan itu.
Rangka Tindakan AEC 2025 yang diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 pada 22 Nov, 2015 telah melakarkan landskap integrasi ekonomi rantau untuk dekad akan datang di samping mengekalkan visi utama AEC 2015.
Ia menekankan penggunaan sains dan teknologi, pembangunan sumber manusia dan peningkatan tadbir urus yang baik serta menggalakkan kesalinghubungan. –BERNAMA