SEREMBAN – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar di sini perlu dikekal dan dipertahankan dalam melahirkan lebih ramai para pendidik, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.
Beliau yang menganggap institusi itu cukup istimewa dengan sejarahnya yang gemilang percaya, institut itu perlu dipertahankan, malah dimajukan lagi sebagai sebuah institut perguruan yang amat penting dalam negara.
“Apabila saya dijemput ke sini, ia adalah suatu perkara yang sangat menyenangkan dan saya bersyukur kerana inilah tempat satu ketika dahulu arwah ayah saya turut belajar di sini sekitar tahun 1960-an… beliau merupakan seorang bekas guru suatu ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan program Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu: Bahasa Melayu Kembali ke Akar di IPG Kampus Raja Melewar di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Pengarah IPG Kampus Raja Melewar Dr Nizam Abd Latib dan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong. – BERNAMA