CABAR… Jika Pakatan Harapan (PH) serius mahu isu ‘panas’ Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) reda, seharusnya Perdana Menteri campur tangan!
Tun Dr. Mahathir Mohamad sebenarnya yang perlu jawab dan jelas di Parlimen sama ada kerajaan PH memang mahu ratifikasi ICERD atau tidak, kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Beliau menambah, P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diberi tanggungjawab dalam portfolio perpaduan adalah terbukti memang gagal jalan tugas diamanahkan oleh Pengerusi PH tersebut.
“Jawapan beliau di Dewan Rakyat kelmarin ternyata mengelirukan rakyat, lagi pun ada perbezaan pendirian antara Mahathir dengan menterinya sendiri,” sindir Mohd. Puad menerusi hantaran disiarkan dalam laman Facebooknya.
Ini dapat disaksikan ketika sidang akhbar sempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Papua New Guinea, Mahathir berkata ICERD mustahil dilaksanakan kerana babit pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Ia memerlukan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat, tetapi Waytha Moorthy sendiri pula berkata konon ini tidak perlu malah dengan angkuh mendakwa isu ICERD tidak melibatkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“PM cakap lain, Waytha Morthy lain, Anwar Ibrahim lain, Ketua AMK PKR lain dan Menteri Agama pun cakap lain. Apakah PM sengaja mahu biarkan isu ini dipolemikkan sebagai cara escapism (selamatkan diri sendiri) beliau?
“Ia hanya akan terjawab kalau PM sendiri tampil bercakap di Parlimen dan beri kata dua kepada Waytha Moorthy supaya hentikan program ‘roadshow konsultasi’ yang mahu dilaksanakan bagi menamatkan kemelut isu ICERD.
“Rakyat juga tertanya-tanya apa muslihat PM sengaja lantik Waytha Moorthy sebagai menteri yang jaga perpaduan sedangkan mustahil PM tidak tahu tuduhan palsu Waytha di Belanda itu,” tegas Mohd. Puad lagi dalam nada kesal.
Ujarnya, di Dewan Rakyat kelmarin, Waytha Moorthy yang jelas ‘tersepit’ dikutuk ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) cuba berdalih dengan jelas konon kenyataan di Belanda itu hanya ditujukan kepada kerajaan terdahulu.
“Bukankah daripada 61 tahun pemerintahan BN itu, Mahathir sendiri berjaya menjadi Perdana Menteri yang keempat selama 22 tahun dan sebelum itu, beliau malah tiga tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Waytha Moorthy kena lebih spesifik, berapa banyak kuil yang sudah dirobohkan kerajaan BN dan berapa ramai orang India Hindu yang dipaksa memeluk Islam selama 22 tahun Mahathir menjadi PM. Ada ke atau tidak ada?
“Apa tindakan Waytha Moorthy, sejak PH memerintah Selangor dari tahun 2008, hampir 22 buah kuil Hindu telah dirobohkan di seluruh negeri tersebut. Apakah jika PH buat itu tidak boleh dianggap sebagai diskriminasi kaum?”
Tegas Mohd. Puad, jika Mahathir tidak ‘tamat’ polemik ICERD, dibimbangi ramalan ahli nujum wanita terkenal Thailand kononnya bakal berlaku rusuhan besar di Kuala Lumpur nanti akan jadi kenyataan. – Mynewshub.TV