MASALAH kependudukan Jepun yang menyaksikan warga tua semakin meningkat mendorong kerajaan negara itu memulakan langkah meningkatkan umur persaraan.
Kerajaan Jepun sedang merancang untuk meningkatkan had umur bekerja dari 65 kepada 70, supaya pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan.
Satu draf perancangan kerajaan menyenaraikan langkah ini, dipersembahkan oleh sebuah panel pada Khamis.
Draf rancangan yang dihasilkan oleh jawatankuasa bertanggungjawab mengemukakan strategi pertumbuhan ekonomi itu turut menggesa syarikat swasta mendedahkan peratusan usia pekerja mereka.
Langkah ini bertujuan memudahkan peluang pekerjaan pada merela yang berusia pertengahan dalam keadaan firma-firma kebanyakan mengambil terus pekerja yang baru menamatkan persekolahan.
Pelan ini akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Dasar Ekonomi dan Fiskal pada Isnin depan, sebagai asas pelan tindakan yang akan dihasilkan kemudian.
Ini merupakan langkah pertama kerajaan Perdana Menteri Shinzo Abe dalam usahanya merombak sistem keselamatan sosial dalam tempoh tiga tahun supaya meliputi semua generasi.
Rancangan ini bagaimanapun memerlukan kerjasama sektor swasta sebelum boleh dilaksanakan.
Turut dipertimbangkan ialah mempromosi cara kerja berbeza termasuk jam kerja lebih singkat dan bekerja dari rumah, serta langkah lain termasuk subsidi untuk majikan.
Menurut data terkini kerajaan, lebih 20 peratus rakyat Jepun berusia 70 tahun ke atas. – Kyodo