SINDIR… Sekiranya berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat, ia boleh bawa kepada tafsiran seolah-olah menteri dilantik dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini memang tidak berwibawa.
Perkara berkenaan didedahkan Datuk Seri Najib Tun Razak malah dalam nada sindiran, bekas perdana menteri itu berkata, menteri yang digugurkan tersebut sebenarnya tidak berjaya jalan tugas mereka seperti mana diharapkan.
Menurut beliau, selalunya rombakan Kabinet hanya akan berlaku dalam tempoh setahun setengah selepas pilihan raya, namun jika rombakan jemaah menteri berlaku dalam masa yang terdekat ini, ia adalah di luar kelaziman.
āSelalunya rombakan anggota jemaah Kabinet boleh berlaku dalam masa yang lama sedikitlah, kira-kira dalam tempoh setahun setengah selepas pilihan raya umum, barulah akan ada rombakan melibatkan menteri tertentu.
āTapi kalau berlaku dalam sehari dua ini, bererti bahawa ada satu keputusan yang tidak ikut kelaziman di negara kita, dan ini juga boleh bawa kepada tafsiran, bahawa menteri-menteri yang dilantik itu adalah tidak berwibawa.
“Atau mereka tidak menjalankan tugas seperti mana yang diharapkan,ā jelas Najib merujuk spekulasi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal rombak beberapa menteri yang dianggap gagal dalam pentadbiran.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan dan bekas Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen pada petang Rabu sebagai ulas ‘cakap politik’ ada menteri yang bakal digugurkan.
Bagaimanapun kata Najib lagi, terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan berlakunya rombakan Kabinet kerajaan PH sama ada dari segi tempoh masa atau siapa individu yang layak akan dilantik menjadi menteri baharu.
āTerpulanglah kepada Perdana Menteri sekarang, sama ada beliau mahu mengikut kelaziman rombakan Kabinet yang pernah juga berlaku pada zaman kerajaan (Barisan Nasional) sebelum ini.
āTetapi pilihan raya umum (PRU) baru sahaja berakhir pada bulan Mei lalu, malah ada sesetengah menteri itu dilantik tidak berapa lama selepas tempoh PRU berakhir. Jadi tempoh ini amat singkat untuk satu rombakan.
āSekiranya ada menteri yang digugurkan melalui rombakan ini, ia bermakna menteri yang digugurkan daripada kabinet itu tidak dapat menjalankan tugas seperti mana yang dikehendaki,ā ujarnya lagi. – Agensi/Mynewshub.TV